TIPS MUDAH BERSALIN TANPA KOYAKAN

 

“takutnya nak bersalin nanti mesti kena gunting kena jahit”

Rata-rata para ibu yang bakal melahirkan pasti akan merasa risau dengan kesakitan yang bakal dihadapi. Sudahlah sakit semasa bukaan laluan, tambah lagi sakit meneran! nasib tak baik pasti akan koyak atau digunting.

tak dinafikan sakit ketika dijahit ataupun “episiotomi” tu lebih sakit daripada anda meneran lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak menerima suntikan bius.

cuba amalkan tips2 dibawah ini supaya anda tidak perlu menahan sakit ketika dijahit!

 

1) JAGA PEMAKANAN ANDA

Ambil makanan yang berkhasiat dan kaya nutrisi. Ianya penting untuk memastikan kulit anda sihat, elastik dan tubuh anda cergas sewaktu menahan kontraksi yang boleh memakan masa berjam-jam lamanya.

Banyakkan mengambil makanan sunnah dan terbukti khasiatnya seperti kurma, kacang badam, pistachio, serta buah-buahan segar yang lain.

Amalkan makanan yang tinggi Vitamin C sebelum dan selepas bersalin kerana Vitamin C mampu mempercepatkan proses pemulihan kulit dan jahitan anda.

 

2) MINYAK ZAITUN DAN MINYAK KELAPA DARA

Sesetengah ibu menasihatkan agar mengamalkan meminum minyak zaitun setiap hari untuk membantu memberi nutrisi baik dan melancarkan proses bersalin dengan mudah.

Selain itu, ramai juga berpendapat minyak kelapa dara amat baik untuk diminum mahupun digunakan sebagai urutan pada perineum kerana khasiatnya yang luar biasa. Juga dipercayai bagus untuk mengelakkan rekahan kulit, mengurangkan risiko faraj koyak, mengelakkan sembelit dan mengatasi keletihan badan semasa mengandung dan selepas bersalin.
3) URUTAN PERINEUM

Teknik urutan perineum:

1.  Sapukan jari dengan minyak.
2. Letakkan satu atau 2 ibu jari ke dalam dinding vagina.
3. Letakkan 4 lagi jari di bahagian punggung.
4. Masukkan ke dalam sedikit dan gerakkan ibu jari dan jari lain mengikut bentuk ‘U’.
5. Urut selama mana yang anda mahu tetapi sekurang-kurangnya dalam masa lebih kurang 5 minit setiap kali.
6. Selepas selesai urutan, buat kemutan pada vagina.  Ia seperti anda hendak menahan kencing atau menahan angin keluar.  Tahan selama 10 saat dan lepaskan 10 saat.  Ulang semula sehingga 10 kali. Lakukan setiap hari, perineum akan menjadi lebih elastik dan bakal menolong anda semasa proses bersalin nanti.

 

4) BELAJAR MENERAN

Belajar cara meneran dengan betul adalah penting bagi mengelakkan koyakan perineum atau episiotomi.  Kekalkan pernafasan yang tenang dan jangan meneran sebelum mendapat isyarat daripada doktor kerana ia boleh mencederakan bahagian perineum dan mengelakkan bayi anda stress.

Rapatkan dagu ke dada dan anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. Biarkan belakang badan anda menyentuh katil. Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah seperti diarahkan oleh  doktor dan jururawat. Semasa datangnya kontraksi, tarik nafas dan teran selama yang boleh. Lakukan 2-3 kali dalam satu tempoh kontraksi.

Perlu diingat, meneran haruslah dari bahagian abdomen ke punggung seperti membuang air besar atau lebih tepat seperti anda sembelit. Ketika kepala bayi mula kelihatan, teruskan meneran dan kawal perlahan-lahan untuk mengelakkan koyakan besar.

Elakkan mengangkat punggung ketika meneran kerana ia boleh mengakibatkan koyakan! Pegang pergelangan kaki agar punggung tidak terangkat ketika meneran.

Para suami sila berada di sisi isteri ketika saat melahirkan dan sentiasa tenangkan isteri anda, kerana saat ini isteri anda mungkin panik dan lupa tentang tips2 yang telah dibaca!

5) SENAMAN LANTAI PELVIK

Menurut laman web perubatan MayoClinic, senaman dapat membantu anda membina kekuatan dan stamina. Antara senaman yang paling disarankan adalah senaman Kegel atau senaman lantai pelvik kerana ia memfokuskan pada bahagian peranakan wanita.

Cara melakukan senaman Kegel sangat mudah dan anda boleh melakukannya di mana saja, walaupun semasa menghadap komputer di pejabat!

Berikut adalah cara melakukan senaman Kegel:

  • Kemutkan otot pelvis seperti tindakan menahan kencing.
  • Tahan selama 5 saat
  • Lepas tu, anda lepaskan perlahan-lahan dan rehat
  • Ulangi 25 kali setiap satu sesi. Lakukannya 2-3 kali sehari.
  • Jangan kecutkan otot perut atau punggung semasa senaman. Ia tidak diperlukan semasa senaman kegel ini dan boleh mengelirukan anda tentang otot sebenar yang anda kecutkan

Senaman lantai pelvik juga boleh dilakukan dan amat bermanfaat untuk anda yang bakal melahirkan. Antaranya adalah posisi ‘The Bridge’ seperti dalam gambar di atas.

 

6) DALAMI TEKNIK PERNAFASAN

Menjelang kelahiran, anda mesti menyimpan tenaga anda seberapa banyak yang boleh. Dengan cara ini, anda mampu membekalkan oksigen yang secukupnya kepada bayi anda untuk membantunya menghadapi stres semasa dilahirkan. Menurut BabyCenter, teknik pernafasan beritma boleh membantu menghadapi proses bersalin yang mudah.

Antara cara yang boleh anda praktis adalah seperti berikut:

Tarik nafas dalam kiraan 5, lepaskan dalam kiraan 8. Hembusan yang lebih perlahan adalah lebih bagus. Kekalkan ritma pernafasan ini. Jangan biarkan tarikan nafas menjadi lebih panjang daripada hembusan. Dalam keadaan apa sekalipun, hembusan nafas sepatutnya lebih panjang daripada tarikan nafas.

Di penghujung kehamilan anda perlu lakukan sedikit senaman ringan atau banyakkan berjalan di taman supaya anda dapat belajar mengawal pernafasan anda.

Untuk para ibu , samada anda dibedah, digunting atau dijahit anda tetap seorang pejuang dan admin tetap tabik kepada anda! segala kesakitan yang anda lalui tak kan dapat dirasai oleh para suami jadi para suami tolong hargai isteri anda yang sanggup menggadai nyawa menahan sakit semata-mata untuk melahirkan zuriat anda.

Anda sememangnya seorang yang hebat!

2 thoughts on “TIPS MUDAH BERSALIN TANPA KOYAKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *