AWAS TIPU HELAH FAHAMAN SI ANTI VAKSIN!

Golongan anti vaksin pelalian di dalam negara ini perlu sedar bahawa gerakan fahaman mengenai bahaya vaksin yang tersebar adalah merupakan sebahagian dari tipu helah dunia digital.

Malah kumpulan ini juga merupakan satu gerakan oleh mereka yang tidak arif mengenai hal perubatan, kata Perunding Pediatrik dan Neonatologi di KPJ Damansara Specialist, Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

“Sejak kewujudan vaksin, ia telah menimbulkan banyak persoalan dan tentangan sejak dahulu. Ia bermula semula, apabila pelakon Jenny McCarthy mendakwa vaksin telah menyebabkan anaknya menghidap autisme. Tanpa soal selidik, fahaman anti vaksin ini diambil serta ditokok tambah dengan pencarian yang tidak bertauliah di internet.

“Sedangkan di Denmark sahaja, mereka menggunakan dua juta kanak-kanak untuk mengkaji mengenai autisme yang mana hasil kajian mendapati risiko autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak yang divaksin ataupun tidak.

“Malah di internet, jika pencarian mengenai vaksin dibuat, 80 peratus laman sesawang berkenaan ‘anti-vaksin’ akan timbul. Laman ini bukan sahaja memberi fahaman palsu dalam masa yang sama turut mengambil kesempatan menjual produk mereka,” jelasnya.

Usah ragu status halal

Dr Musa yang juga Bekas Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia dalam masa yang sama menasihati agar ibu bapa yang beragama Islam tidak meragui status halal suntikan imunisasi di negara ini.

“Perkara ini telah menjadi perdebatan 20 tahun antara ahli perubatan dan golongan cendikiawan agama. Akhirnya penggunaannya diharuskan oleh Kesatuan Ulama Sedunia.

“Jika Ulama pun sahkan halal, siapalah kita yang mahu menafikannya?” tegasnya yang turut menyatakan bahawa pengambilan vaksin adalah ‘darurah’ atau dalam situasi darurat.

Bahaya dan risiko tidak vaksin

Dr Musa berkata bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin membawa risiko bukan sahaja kepada  bayi terbabit tetapi juga kepada kepada bayi yang belum divaksinasi penuh atau kanak-kanak yang tidak boleh divaksinasi.

Antara kanak kanak yang tidak boleh menerima suntikan vaksin adalah kanak-kanak leukimia dan barah, yang di bawah pengambilan steroid dan ubat anti kanser serta kanak-kanak yang menghidap HIV Aids.

“Mereka yang enggan memberi vaksin kepada anak-anaknya bakal meningkatkan risiko seperti kewujudan semula penyakit yang sudah hilang.

“Pada masa sama, kalau anaknya menghidap demam campak dan bermain dengan anak yang menghidap leukimia, sekiranya berjangkit, anak yang mempunyai leukimia ini boleh meninggal dunia,” katanya.

Ibu bapa anti vaksin yang sudah insaf

Bagaimanapun mana-mana ibu bapa yang bertukar fikiran dan mahu anak-anak mereka divaksin, masih boleh berbuat demikian pada bila-bila masa.

Dr Musa berkata tiada masalah untuk perkara berkenaan walaupun anak-anak sudah membesar.

“Ibu bapa yang sudah sedar akan tanggungjawab mereka dan sebelum ini tidak pernah mengambil apa-apa imunisasi buat anak-anak mereka, boleh datang ke mana-mana pusat kesihatan.

“Tiada had umur ke atas anak-anak tersebut, jika mereka sudah berusia lima tahun dan ke atas misalnya masih sempat lagi untuk mendapatkan vaksin penuh,” katanya.

 

INFO : Kedah dilaporkan mencatatkan kes penolakan vaksin pelalian tertinggi di negara ini dengan 318 kes dilaporkan pada 2015 berbanding 239 kes pada 2014, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail.

Kaji selidik mendapati faktor utama penolakan vaksin di negeri ini ialah meragui status halal vaksin (75.8 peratus), amalan homeopathy (18.6 peratus), tidak percaya kepada keberkesanan vaksin (0.9 peratus), kesan sampingan pada bayi (1.5 peratus), masalah sikap (2.5 peratus) dan masalah kewangan (0.6 peratus).

 

Sumber : Perunding Pediatrik dan Neonatologi di KPJ Damansara Specialist, Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Sumber : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *