TERLUPA IBU DAH ‘PERGI’ SELAMANYA – MUHAMMAD NOH ZAKARIA

Klang: “Pagi tadi (semalam), saya mahu bersalaman dengan ibu namun terlupa yang dia ‘pergi’ buat selama-selamanya.

“Rutin harian ibu menyediakan sarapan setiap pagi untuk saya sebelum ke sekolah. Namun baru sehari ketiadaannya saya sudah rindu,” kata pelajar, Muhammad Noh Zakaria, 17.

Kelmarin, ibu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, Maziah Alias, 50, meninggal dunia akibat sakit jantung dan berita duka itu hanya diketahui Muhammad Noh selepas selesai menduduki peperiksaan itu jam 4.30 petang kelmarin.

Guru Besar Sekolah Agama Kota Damansara 5 itu ditemui tidak sedarkan diri ketika berehat di bilik rawatan di sekolah berkenaan selepas keletihan dan tidak bermaya, jam 12 tengah hari.

Muhammad Noh berkata, walaupun perit menerima berita pemergian arwah ibunya, dia perlu membiasakan dirinya.

“Selepas selesai pengebumian, saya hampir berputus asa dan sukar menerima hakikat apatah lagi saya tahu dia memang tiada penyakit sebelum ini.

“Namun keluarga, rakan dan guru memberi semangat selain memegang amanat arwah yang sentiasa berpesan supaya menjadi insan berjaya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Agama Menengah Nurul Iman (SAMNI), Kampung Bukit Cerakah, Meru di sini, semalam.

Dia yang selesai menduduki kertas Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab berkata, dia beristighfar dan berdoa kepada Allah SWT supaya menenangkan hatinya.

“Alhamdulillah, saya dapat menjawab peperiksaan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, dia kini cuba menyesuaikan diri dan belajar menerima hakikat ibunya sudah tiada.

Sementara itu, Pengetua SAMNI, Mohd Norhisam Ahmad berkata, dia hanya menerima berita kematian ibu kepada anak muridnya itu, jam 2 petang kelmarin.

“Memang sukar untuk memberitahunya namun kami putuskan untuk memaklumkan berita sedih itu selepas Muhammad Noh selesai menjawab peperiksaan Kertas Bahasa Melayu Dua,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *