ORANG BARAT PUNCA BUGIS DIGELAR LANUN? INI SEBABNYA!

Dalam penulisan sejarah Asia Tenggara, sehingga akhir-akhir ini memang sarjana Barat yang mempeloporinya. Sarjana tempatan hanya mulai memberi cabaran pada 1950-an. Maka muncullah istilah ‘sejarah Euro-centric’ dan ‘sejarah Malaya-centric’ di negara ini. Tetapi sehingga kini masih ramai sarjana yang tidak jelas, apakah perbezaan asas di antara dua persepsi ini.

Apa yang tidak dapat diakui ialah penulisan sejarah rantau Gugusan Kepulauan Melayu itu mula diselenggarakan oleh orang Barat. Akibatnya apabila sejarah rantau ini mula dipelajari dalam dunia akademik, sumber digunakan kebanyakannya sumber Barat. Antara yang terkenal ialah tulisan Tome Pires, Suma Oriental, yang ditulis dalam bahasa Portugis. Orang Belanda juga banyak menulis mengenai rantau ini dan permusuhan di antara mereka dengan orang Bugis begitu nyata. Kedua-dua pihak cuba menguasai perdagangan di rantau ini.

Penulis Barat yang ikhlas biasanya mengakui bahawa pada zaman dulu, orang Bugis ialah pedagang yang sangat penting di Gugusan Kepulauan Melayu. Di samping itu, ada juga yang suka memberi perspektif lain, iaitu orang Bugis ialah ‘lanun’. Di Britain, istilah ini mempunyai makna berbeza. Pada abad ke-16, Francis Drake yang terkenal kerana menyerang kapal musuh Britain dianggap sebagai wira di Britain dan dianugerahi gelaran ‘Sir’.

Apabila orang Eropah datang ke Timur, mereka menganggap orang Timur yang garang di laut sebagai ‘lanun’. Kecenderungan mereka, terutama orang British, kemudian berubah pada abad ke-19. Di Britain sendiri telah ada usaha untuk menetapkan takrif piracy. Kalau dulu, semua serangan di laut dianggap piracy.

Pada abad ke-19, menurut undang-undang baru, piracy hanya boleh berlaku sekurang-kurangnya tiga batu dari pantai iaitu di tempat yang tidak bertuan (‘no man’s territory’).

Kawasan lebih dekat dari itu biasanya kawasan yang mempunyai pemerintah. Menurut undang-undang baru itu, di sesebuah kawasan di bawah seseorang pemerintah, pemerintah itu berhak mengutip cukai apabila ada kapal menggunakan kawasannya. Kalau pihak asing itu enggan membayar cukai, pemerintah ada hak menggunakan kekerasan. Itu tidak boleh dianggap sebagai piracy.

PERLU PERKENAN RAJA

Rekod sejarah yang ditinggalkan orang Barat yang pernah datang ke Tanah Melayu pada abad ke-18 menunjukkan pedagang asing yang datang ke Tanah Melayu mesti mendapat perkenan daripada raja untuk berdagang. Sesungguhnya ada rekod Perancis yang menyebut bahawa pada zaman itu, raja ialah saudagar utama setiap kerajaan.

Keadaan ini diterima oleh orang Barat oleh sebab piracy hanya boleh dikatakan berlaku di kawasan yang ‘tidak bertuan’. Kalau kapal diserang di kawasan yang ada pemerintah, perbuatan itu disifatkan sebagai rompakan dan bukan piracy. Timbullah pertanyaan, mengapa orang Bugis dan juga pembesar tempatan biasa disebutkan sebagai lanun?

Keadaan ini amat jelas berlaku pada lewat abad ke-19 selepas Perjanjian Pangkor ditandatangani. Pegawai British yang berkhidmat di Semenanjung sentiasa mahu meluaskan pengaruhnya, pada hal Pejabat Kolonial lebih berhati-hati kerana takut pihak British menanggung kerugian kerana dana sangat diperlukan untuk menjalankan pentadbiran.

Justeru, pegawai di Semenanjung perlu mencari alasan untuk mengambil tindakan campur tangan dalam hal ehwal kerajaan Melayu. Tambahan pula, selepas 1867 Parlimen di Britain juga sering menyoal tentang tindakan yang diambil pegawai British di Semenanjung.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.