AYAH MENDERA ANAK BERUMUR 8 TAHUN DENGAN SEBAB YANG TAK MASUK AKAL!

AKIBAT berdendam dengan bekas isteri, seorang bapa mendera anak perempuannya yang berusia lapan tahun dalam kejadian di Kampung Terap, Bukit Marak, Kota Bharu.

Kejadian Sabtu lalu itu, mangsa didera dengan cara dicucuh api rokok di kaki dan beberapa bahagian badan, dipukul dengan tangan di kepala menyebabkan bengkak dan ditoreh dengan pisau di tangan kanan.

Akibat didera mangsa cedera di kaki, badan dan kepala serta masih dalam keadaan trauma.

Kejadian diketahui ibu mangsa yang berusia 27 tahun pada 11.50 pagi selepas menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar bekas adik ipar yang memintanya segera mengambil anak.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul berkata, dia melihat sekeping gambar yang dihantar bekas adik ipar menunjukkan anak sulung dan anak keduanya yang berusia enam tahun menyorok di belakang almari kerana takut.

Katanya, dia terus membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian untuk mengambil anak dan bersama beberapa anggota polis dari Balai Binjai ke rumah bekas suaminya yang berusia 31 tahun.

“Saya dapat mengambil anak dan mendapati dia cedera teruk di kaki, badan dan kepala akibat didera bekas suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lepar Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, bekas suami bertindak demikian kerana berdendam dengannya akibat perceraian mereka tiga bulan lalu serta muka anak perempuannya itu seiras dengan wajahnya.

Katanya, mereka bercerai buat kali ketiga dan bekas suaminya mahu merujuk kembali tetapi dia tidak mahu ekoran tidak tahan dengan sikap lelaki itu panas baran dan beberapa kali memukulnya.

“Bekas suami mengambil dua anak kerana belajar di sebuah sekolah berdekatan rumah lama di Bukit Marak.

“Namun, sejak anak tinggal dengan bekas suami, dia dikurung dan tidak dibenarkan ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek ditahan Ahad lalu dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.