MISTERI PULAU TENGKORAK, KELANTAN

Pulau sememangnya sinonim dengan perkara-perkara misteri dan mistik. Adakalanya pulau juga sering dikaitkan dengan cerita-cerita hantu yang menjadi buah mulut oleh penduduk tempatan sehingga menimbulkan perasaan takut meskipun kepada mereka yang tidak pernah berhadapan dengan perkara-perkara aneh yang berkaitan dengan pulau tersebut. Begitu juga dengan asal-usul wujudnya sesebuah pulau yang tidak lari perkara-perkara mistik. Salah satunya adalah Pulau Tengkorak yang terletak di daerah Tumpat, Kelantan.


Pulau ini dikatakan terletak di sempadan antara Kelantan dan Thailand. Pulau ini terkenal di kalangan penduduk Kampung Geting, Pengkalan Kubor dan Tumpat. Pulau Tengkorak ini dikenali sebagai pulau yang tidak berpenghuni serta mempunyai beberapa nama lain seperti ‘pulau lanun’ dan turut didakwa sebagai ‘pulau puaka’ oleh penduduk di kampung Geting. Pelbagai cerita dari mulut ke mulut yang telah disebarkan oleh penduduk kampung yang mengatakan bahawa pulau tersebut mempunyai ‘penjaga’ dan ‘penunggu’ yang akan menghalang sesiapa sahaja yang mempunyai niat buruk ketika menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan keadaan pulau tersebut yang dikatakan berbentuk seekor buaya.

Pulau ini dinamakan sebagai Pulau Tengkorak disebabkan penemuan rangka manusia di pulau tersebut. Mengikut cerita penduduk kampung, telah berlaku satu pembunuhan kejam yang melibatkan anak kapal yang diketuai oleh Tok Sang Niaya. Kira-kira seramai 1000 anak kapal telah dibunuh oleh Tok Sang Niaya sendiri kerana ingkar akan perintahnya. Setelah dibunuh dengan kejam, mayat mereka telah dihumban ke dalam pulau tersebut. Cerita ini telah membuatkan penduduk kampung takut untuk ke pulau tersebut tanpa adanya sebarang ilmu untuk mempertahankan diri sekiranya mereka diserang oleh ‘sesuatu’ seperti yang yang dihebohkan oleh penduduk kampung. Ada juga penduduk kampung yang mendakwa bahawa mereka telah menjumpai rangka manusia dan tengkorak di pulau tersebut.

Namun begitu, disebalik ketakutan ini, ada di antara mereka yang cuba untuk memasuki pulau tersebut kerana pulau tersebut dikhabarkan ada menyimpan banyak harta karun yang sehingga kini belum ditemui oleh sesiapa. sehinggalah keinginan dan keyakinan yang kuat tentang adanya harta karun ini telah membawa kepada kematian salah seorang penduduk yang cuba untuk mendapatkan harta karun tersebut. Selain itu, telah berlaku pelbagai peristiwa-peristiwa aneh dan pelik kepada mereka yang berniat tak elok ketika mengunjungi pulau tersebut. Kebanyakan mereka gagal untuk mencari jalan balik dan dikatakan telah disorok di pulau tersebut.

Dikatakan terdapat sekumpulan remaja yang nekad untuk ke pulau itu setelah mendengar adanya emas yang tersimpan di sana. Seramai tujuh orang remaja yang menaiki perahu telah menuju ke Pulau Tengkorak dengan harapan mereka akan menemui emas yang sering diperkatakan oleh penduduk. Namun begitu, perahu yang dinaiki mereka tiba-tiba diserang ribut kuat yang menyebabkan perahu mereka karam dan hanyut. Salah seorang daripada mereka telah meninggal kerana telah diserang sakit yang datang secara tiba-tiba. Punca sebenar kematian beliau tidak dapat dipastikan dan hanya Allah yang mengetahuinya. Bagi mereka yang sememangnya daripada awal lagi menyimpan niat yang tidak baik terhadap pulau tersebut akan ditimpa sesuatu kejadian buruk dan semuanya dikatakan angkara penjaga Pulau Tengkorak.

 

 

Kredit : orangkelantan.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.