HOSPITAL REMBAU DIJANGKA BEROPERASI SEPTEMBER 2018

REMBAU: Masalah reka bentuk pembinaan menjadi antara punca Hospital Rembau di sini, yang sepatutnya siap pada September 2016, lewat disiapkan daripada tarikh ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pembinaan hospital yang bermula pada tahun 2013 dengan kos sebanyak RM104 juta itu, kini siap 82 peratus.

Katanya, hospital itu dijangka siap pada Jun tahun hadapan dan boleh beroperasi sepenuhnya pada September 2018.

“Pembinaan hospital itu akan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan di hospital daerah lain,” katanya selepas melawat Hospital Rembau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Subramaniam berkata, Hospital Rembau akan menjadi sebahagian sistem kluster yang menyediakan perkhidmatan kepakaran tertentu dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

Katanya, selepas ini pesakit dari Port Dickson dan Tampin yang memerlukan khidmat pakar, tidak perlu lagi ke HTJ dan boleh mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.

Pada Oktober lalu Kementerian Kesihatan melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan Hospital Rembau yang disifatkan sebagai ‘projek sakit’, kerana beberapa faktor tertentu.

Pembinaan Hospital Rembau yang mempunyai 76 katil di tapak seluas 19.4 hektar di Chembong, akan menjadikan semua tujuh daerah negeri ini mempunyai hospital masing-masing.

 

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *