Kelonggaran untuk tidak pasang baby seat (CRS) bagi keluarga besar

Kerajaan memberi kelonggaran kepada pasangan yang mempunyai anak ramai untuk tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) apabila peraturan itu dikuatkuasakan, 1 Januari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata kerajaan sedar dan mengakui sukar bagi keluarga yang besar menggunakan CRS dalam kenderaan berikutan masalah ruang.




“Khusus untuk keluarga yang besar, saya boleh laporkan mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tidak membolehkan CRS dipasang.

“Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.




Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kerajaan mengambil maklum mengenai isu CRS dalam kalangan keluarga yang mempunyai ramai anak.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, CRS dikecualikan duti import dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi memastikan pemasangannya tidak membebankan rakyat.




Bermula 1 Januari ini, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata langkah baharu itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.




Menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai jumlah fi yang dikutip daripada permohonan dan kelulusan penggunaan cermin gelap, Kamarudin menjelaskan, sebanyak RM1.165 juta dikutip hasil bayaran fi yang dikenakan bagi permohonan menggunakan cermin gelap setakat ini sejak ia berkuat kuasa Ogos lalu.

Beliau berkata, jumlah kutipan itu membabitkan 413 permohonan termasuk permohonan atas faktor kesihatan yang dikecualikan fi.




“Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensyaratkan setiap permohonan cermin gelap atas faktor keselamatan, dikenakan bayaran RM50 sebagai fi perkhidmatan manakala bayaran RM5,000 dikenakan selepas ia diluluskan.

“Untuk permohonan atas faktor kesihatan pula, pemohon dikecualikan daripada bayaran fi perkhidmatan dan fi kelulusan. Sehingga bulan ini, hasil kutipan fi bagi permohonan cermin gelap adalah lebih RM1 juta,” katanya.




Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.