Kicap punca parut jadi gelap?

Mungkin sebelum ini anda pernah mendengar, makan kicap akan buatkan parut luka anda menjadi gelap. Kata-kata ini sudah lama berpindah dari mulut ke mulut tanpa wujudnya penerangan di sebalik mengapa ia boleh terjadi sedemikian.

Sikap semula jadi penulis yang gemar mencari jawapan sebenar di sebalik cakap-cakap ini telah membawa kepada satu jawapan yang kukuh. Jika anda juga ingin mengetahui jawapan sebenar bagi dakwaan ini, baca apa yang telah kami sediakan di bawah ini.




Kicap buat parut jadi gelap

Kicap buat parut luka jadi gelap?

Terdapat kepercayaan yang menyatakan jika anda mempunyai parut luka atau mendapat chicken pox, jangan sesekali memakan atau mengambil kicap.

Ini kerana dikatakan warna gelap daripada kicap tersebut akan menyebabkan kuping parut menjadi gelap dan meninggalkan parut yang tidak dapat dihilangkan. 

Untuk pengetahuan anda, kacang soya mengandungi sejenis asid amino yang dinamakan sebagai tyrosine dan ia boleh menggelapkan warna kulit. Tyrosine akan bertukar menjadi melanin apabila anda terdedah kepada cahaya matahari.




Melanin pula adalah pigmen gelap yang bertanggungjawab terhadap warna kulit yang gelap. Walau bagaimanapun, di sebalik kewujudan tyrosine dalam kacang soya, ia masih bukan menjadi penyebab luka anda gelap. Mengapa? 

Ini kerana kacang soya bukanlah satu-satunya jenis makanan yang mengandungi tyrosine. Terdapat pelbagai lagi jenis makanan lain yang mengandungi tyrosine seperti keju, daging lembu, daging kambing, ikan, ayam, kekacang dan bijirin penuh.

Senang kata, apa yang anda makan setiap hari sebenarnya mengandungi kandungan tyrosine. Anda makan ayam setiap hari, tetapi tyrosine dalam ayam tidak pula menyebabkan tubuh badan anda berwarna merah jambu. 




Tyrosine dan fungsinya terhadap tubuh

Fungsi sebenar tyrosine adalah untuk menghasilkan bahan kimia otak bagi membantu sel saraf berkomunikasi dan mengawal selia mood. Tyrosine juga meningkatkan kewaspadaan, perhatian dan fokus seseorang individu.

Tubuh badan anda hanya menggunakan tyrosine apabila diperlukan dan pengambilan banyak makanan yang mengandungi tyrosine tidak akan menjadikan tubuh badan anda lebih gelap.

Ia juga tidak akan meningkatkan penghasilan melanin dalam tubuh anda kerana anda masih memerlukan sinar matahari untuk menggelapkan warna tubuh.

Pokok pangkalnya, tyrosine semata-mata masih tidak akan menggelapkan tubuh anda tanpa pendedahan terhadap sinar UV.




Parut chicken pox bukan sebab kicap?

Ya, kicap bukan penyebab terjadinya parut yang gelap pada chicken pox. Parut akibat chicken pox sebenarnya terbentuk disebabkan oleh aktiviti menggaru yang menjejaskan proses penyembuhannya dan meningkatkan risiko jangkitan bakteria.

Sekiranya anda mahu mengelakkan parut gelap akibat chicken pox, jangan sesekali menggarunya. Hilangkan kegatalan yang dialami dengan cara mandian air sejuk atau penggunaan losyen calamine.




Secara logiknya, jika anda menganggap makan kicap boleh buat luka jadi hitam, anda mungkin boleh makan telur untuk jadikan parut anda berwarna putih atau kuning kan? Atau makan sawi hijau untuk menjadikan luka berwarna hijau, baru rare.

Tetapi pasti ramai yang tidak mempercayainya. Mengapa? Sebab ramai yang tahu ia tidak logik dan tidak boleh diterima akal. Begitu juga dalam kes kicap ini.

Oleh itu, kongsikan artikel ini untuk bantu kami memecahkan mitos yang telah lama membelenggu masyarakat kita. Seiring kita bergerak menjadi anggota masyarakat yang lebih berilmu.




Sumber: Hello Doktor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.