PAS meminta kerajaan jangan lepas tangan

Pas menggesa tindakan undang-undang terhadap penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 kerana melanggar etika dengan memperagakan tatu dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, lebih mengecewakan apabila penganjuran itu dilaksanakan tanpa pemantauan ketat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).




Menurutnya, program itu juga meminggirkan budaya ketimuran dan melanggar prinsip Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Ekspo ini secara tidak langsung membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk turut menyertainya, sedangkan amalan bertatu dilarang sama sekali dalam Islam.

“Pas menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan kementerian yang berkenaan ambil tindakan tegas serta tidak bersikap lepas tangan, selain menuntut mereka memberi penjelasan kepada rakyat agar program sedemikian tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.




Kelmarin, tular di media sosial gambar dan visual peragaan separuh bogel itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sekali gus membangkitkan kemarahan orang ramai.

Bagaimanapun, MOTAC semalam menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur acara berkenaan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kementerian berkenaan tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk acara peragaan separuh bogel.




“Adalah mustahil untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Ia juga tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan,” katanya.




Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.