BUDAK MAUT TERSEPIT MEJA LIPAT

Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas kepalanya tersepit kaki meja lipat ketika bermain di rumahnya di Kampung Kok Bedullah, Tumpat, 11.30 pagi semalam.

Nur Hadirah Noraini Makeruddin, 5, meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat.

Ibunya, Che Gayah Che Hassan, 49, berkata, sebelum kejadian, anak ke-10 daripada 11 beradik itu bermain di halaman rumah bersama adiknya Azman Hadif.

 

“Tiba-tiba anak kelima saya menjerit memberitahu Nur Hadirah tersepit. Saya bergegas keluar dan ketika itu wajahnya sudah kebiruan.

“Kepalanya tersepit di bahagian tengah meja lipat berkemungkinan tergelincir ketika duduk di atas meja lipat itu yang sudah diterbalikkan.

“Meja itu saya buang kerana sudah rosak.


“Sedihnya hanya Tuhan yang tahu. Masih terngiang-ngiang lagi suara dan gelaknya bermain dengan Azman,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurut Che Gayah, dia meminta pertolongan jiran untuk menghantar anaknya ke hospital kerana suami bekerja.

Katanya, ketika tiba di hospital, doktor mengesahkan anaknya itu sudah meninggal dunia, berkemungkinan besar ketika dalam perjalanan.

Jenazah Nur Hadirah akan dikebumikan selepas Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kok Bedullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *