SAMBUNGAN NAHAS BAS RAGUT 8 NYAWA!

BUKIT MERTAJAM: Dua pemandu bas kilang yang ditahan sejurus nahas yang mengorbankan lapan nyawa di Kilometer 147 berhampiran Plaza Tol Juru, pagi semalam, didapati bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu berusia 23 dan 37 tahun itu adalah negatif.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka kini direman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian.

“Melalui siasatan awal, pemandu bas yang berhenti di lorong kiri lebuh raya selepas kenderaan yang dipandunya mengalami kerosakan pada bahagian enjin mempunyai tiga waran tangkap di atas beberapa kesalahan yang menyalahi undang-undang jalan raya.

“Siasatan terhadap pemandu bas yang membawa 17 penumpang dari Parit Buntar, Perak itu pula tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau namun kedua-duanya kini direman untuk siasatan lebih terperinci,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Katanya, polis juga menunggu keputusan ujian darah dua pemandu bas itu yang sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk proses tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, seorang pekerja wanita warga tempatan dan tujuh warga Indonesia maut berikutan bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan.

Insiden itu juga mengakibatkan seramai 44 lagi pekerja turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di beberapa hospital di sekitar negeri ini.

Untuk berita & gambar mengenai kemalangan ini sila klik sini.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *