APA ITU WABAK MEASLES?

Mungkin ada antara korang yang masih tak tahu tentang wabak measles yang dikatakan mula kebali melanda anak-anak kecil di Malaysia. Jadi mari baca ulasan dari Dr. Maryam Azlan (pensyarah Imunologi (sistem pertahanan badan) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia) tentang apa itu Measles ye.

Measles atau dikenali sebagai campak.  Campak merupakan sejenis jangkitan yang disebabkan oleh kuman atau virus. Virus memerlukan perumah untuk hidup dan perumah bagi virus Measles adalah manusia. Virus ini tersebar melalui udara lalu mengjangkiti salur pernafasan dan seterusnya merebak ke seluruh badan.

 

Secara umumnya sistem pertahanan badan manusia terdiri daripada pelbagai jenis sel atau anggota. Setiap anggota dalam sistem pertahanan badan manusia mempunyai fungsi yang khusus. Pada peringkat awal jangkitan, benteng pertahanan awal akan cuba melawan virus ini. Antara contoh benteng pertahanan awal ialah sel makrofaj dan sel dendritik. Kebiasaannya, benteng pertahanan awal ini akan dapat melawan virus tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku serangan kali kedua, benteng awal ini tidak akan dapat bertahan. Serangan virus kali kedua ini akan mengakibatkan virus menumpang anggota pertahanan tersebut untuk masuk ke peringkat seterusnya dalam badan manusia. Virus ini boleh menggunakan anggota pertahanan badan peringkat kedua pula untuk membiak dan membahagi.

Di dalam badan terdapat anggota pertahanan yang menyimpan memori terhadap sebarang jangkitan yang berlaku. Anggota ini dinamakan Sel T dan Sel B. Kedua-dua anggota ini merupakan benteng pertahanan paling kukuh dalam badan manusia. Disebabkan virus campak ini terlalu kuat, ia boleh menjangkiti serta memusnahkan kedua-dua sel tersebut. Virus ini seterusnya merebak ke seluruh badan serta mengambil alih (hijack) sistem pertahanan badan. Apabila sistem pertahanan badan telah ditawan, kuman ini menjangkiti dan memusnahkan organ-organ utama dalam badan seperti ginjal, paru-paru, hati serta usus. Lebih teruk lagi, virus ini boleh menjangkiti otak dan seterusnya menyebabkan kematian.

Di dalam satu kajian terbaru berkenaan campak, para penyelidik mendapati bahawa individu yang telah sembuh daripada jangkitan campak boleh mengalami kecacatan pada sistem pertahanan badan untuk tempoh yang agak lama. Ini bermakna, setelah sembuh daripada jangkitan campak, badan individu terbabit masih lemah dan sangat mudah terkena jangkitan penyakit-penyakit lain yang kebiasaannya mudah sembuh jika berjangkit kepada individu normal.

Kesimpulannya, sistem pertahanan badan perlu disiap-siagakan bagi menghadapi serangan virus yang merbahaya seperti campak. Cara menguatkan sistem pertahanan badan ialah melalui pemberian vaksin melalui imunisasi. Mekanisma dan cara vaksin melatih anggota pertahanan badan akan dijelaskan dalam siri yang lain. Justeru, saya menyeru para ibu bapa agar memastikan anak-anak mendapat suntikan vaksin measles bagi mengelakkan virus yang merbahaya ini mengganggu kehidupan kita.

 

Antara 10 – 12 hari selepas dijangkiti penyakit, pesakit mula menunjukkkan tanda dan gejala demam campak seperti:

  • Demam tinggi.
  • Batuk, selesema dan sakit tekak.
  • Mata berair dan sensitif kepada cahaya.
  • Sakit otot.

Dua atau tiga hari kemudian timbul ruam-ruam, bermula dibahagian muka dan kepala kemudian merebak ke bahagian badan, tangan dan kaki.

Ruam akan kekal selama 4 – 7 hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi. Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.

Bolehkah demam campak dicegah?

Boleh. Demam campak boleh dicegah melalui pemberian suntikan immunisasi MMR (Measles, Mumps and Rubella) mengikut jadual suntikan anak anda.

Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi.

MMR adalah vaksin yang selamat.

Jika anak anda terdedah kepada individu dijangkiti campak dan belum lagi menerima imunisasi, bawa anak anda segera untuk berjumpa doktor. Pemberian vaksin dalam jangka masa tertentu boleh mengelakkan anak anda daripada dijangkiti virus ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *