ERRA MENGGODA AWIE! ADAKAH MEREKA KEMBALI BERSAMA?

Dalam diam, dua bintang yang mencipta fenomena ketika digandingkan dalam filem Sembilu pada era 1990-an, Datuk Awie dan Erra sempat berlakon filem Hantu Kak Limah arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid.

Memberitahu BH Online, Erra bagaimanapun berkata, dia sekadar menjadi bintang cameo (sebabak) dalam filem berkenaan.

“Pembabitan saya hanya untuk satu babak saja. Saya hanya menjalani penggambaran sehari di Perak.

“Dalam filem itu, saya jadi watak jelmaan Wati iaitu karakter yang dilakonkan dalam filem Sembilu. Kali ini, Wati dalam versi hantu yang menggoda Husin lakonan Awie,” katanya.

Erra berkata, misi Wati adalah meninggalkan kawasan larangan pertapaan Husin.

“Kali ini, tiada babak ‘cintan-cintun’ tapi lebih kepada komedi.

“Dalam hidup ini, kita pasti akan digoda dengan macam-macam orang termasuk ‘jelmaan’. Jadi untuk Husin, diserahkan Wati untuk menggodanya,” katanya.

Erra yang kali terakhir tampil dalam filem Warna Cinta Impian bersama Awie, tahun lalu, teruja kali pertama bekerja dengan Mamat.

Tambah Erra, dia masih meneruskan penggambaran musim terbaharu drama bersiri Gerak Khas terbitan Skop Productions Sdn Bhd sejak September lalu.

“Penggambaran drama Gerak Khas berlanjutan hingga Januari depan. Komitmen saya dalam drama ini hanya 10 hari setiap bulan. Drama ini dijangka disiarkan tahun depan,” katanya sambil menambah dia juga terbabit dengan penggambaran filem Polis Evo 2, bulan depan.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *