ISTERI ‘CALON SYURGA’ SANGGUP BERKORBAN MENJAGA SUAMI!

GUA MUSANG: Kasih sayang seorang isteri sukar dipertikaikan apatah lagi sanggup berhenti kerja demi menjaga suami tercinta dan berkongsi derita.

Pengorbanan ibarat ‘calon penghuni syurga’ itu bukan sahaja atas dasar tanggungjawab tetapi didorong oleh perasaan cinta yang telah dilafaz sejak diijabkabul.

Bagi Fatimah Jusoh, 56, dia terpaksa berhenti kerja sebagai penoreh getah semata-mata tanggungjawab untuk menjaga suaminya yang kini terlantar akibat diserang penyakit angin ahmar sejak setahun lalu.

Malah, ‘kerjaya’ penoreh getah yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu merupakan pendapatan utama keluarga mereka yang menetap di Kampung Lebur, Gua Musang, Kelantan.

Menurut Fatimah, suaminya Abdul Kadir Dollah, 60, gagal menguruskan diri sendiri selepas tidak dapat berjalan akibat diserang angin ahmar ketika sedang mandi tahun lalu.

“Saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga menguruskan rutin hariannya. Saya tahu ini adalah tanggungjawab saya sebagai isteri,” katanya ketika ditemui di rumah di sini baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, Fatimah berkata hasil perkahwinan dengan suami, mereka dikurniakan lapan orang anak yang mana lima daripadanya telah berkeluarga.

Katanya, dua lagi telah bekerja manakala seorang masih bersekolah dan tinggal bersama mereka.

Ujar Fatimah, ketika ini mereka hanya menggunakan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Selain sedih melihat keadaan suami tercinta, beliau juga resah memikirkan rumah kayu yang didiami lebih 40 tahun itu usang serta hampir roboh.

“Hidup kami juga diselubungi kebimbangan apabila terpaksa mendiami rumah usang yang menunggu masa untuk roboh serta terpaksa berpindah tempat tidur ketika hujan akibat lantai kayu basah,” katanya

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *