GERABAK KTM TERBALIK DISEBABKAN TREN TERGELINCIR DARI TREK!

Sebuah keretapi kargo 12 gerabak terbalik setelah tergelincir daripada landasan dalam satu kejadian di Kilometer 386.00 di antara laluan Stesen Bank Negara menuju ke Stesen Kuala Lumpur pagi ini.

Akibat dari kejadian tersebut, tiada keretapi dapat melalui stesen-stesen Kuala Lumpur, Bank Negara, Putra dan Segambut buat sementara waktu sehingga kerja-kerja baik pulih selesai.

Unit jurutera KTMB membuat pemeriksaan terhadap sebuah tren kargo yang tergelincir di Stesen Bank Negara hari ini. – foto BERNAMA

Menurut Jurucakap Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad, kerja-kerja baik pulih dijangka mengambil masa sehingga tiga hari sebelum perkhidmatan tren itu boleh kembali beroperasi.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 2.58 pagi itu, tren tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke arah selatan.

“KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan.

“Kerja-kerja baik pulih dijangka akan mengambil masa sehingga tiga hari untuk perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, buat ketika ini, tiada perkhidmatan tren komuter akan beroperasi di antara laluan Stesen Kepong ke Stesen Kl Sentral.

Namun, perkhidmatan bas disediakan di antara laluan Stesen Segambut menghala ke Stesen KL Sentral.

Para penumpang bagi laluan Stesen Tanjung Malim ke Stesen KL Sentral, atau stesen-stesen sektor selatan dan sebaliknya, digalakkan menggunakan perkhidmatan awam alternatif seperti tren MRT dari Stesen Sungai Buloh.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh melayari lawan Twitter rasmi KTM Berhad di @ktm_berhad atau menghubungi pusat panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *