SUNGAI GOLOK MELIMPAH, RANTAU PANJANG LUMPUH

DAERAH Rantau Panjang lumpuh, hari ini, apabila Sungai Golok terus melimpah sejak kelmarin disusuli hujan yang masih berterusan.

Hampir keseluruhan aktiviti perniagaan di pekan itu ditutup berikutan ditenggelami air sehingga satu meter.

Jumlah mangsa yang dipindahkan juga semakin bertambah dengan hampir 80 peratus mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Mas adalah penduduk Rantau Panjang.

Setakat 12 tengah hari, Pasir Mas merekodkan mangsa tertinggi dengan 4,211 orang di 36 PPS.

Paras air Sungai Golok pula sudah mencecah 10.61 meter, iaitu kurang 0.23 meter daripada paras tertinggi ketika bencana 2014.

Ketika ini semua agensi keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) membantu memindahkan mangsa ke lokasi selamat.

Wartawan turut berkesempatan mengikut JBPM melakukan operasi menyelamat dan rondaan di Rantau Panjang serta Pasir Mas, mendapati lebih banyak kawasan ditenggelami air berbanding semalam.

Terdapat beberapa lokasi sudah tidak boleh dilalui kenderaan ringan dan pemindahan terpaksa dilakukan menggunakan lori tiga tan atau bot.

Penduduk Kampung Siput, Pasir Mas, Nasir Ahmad, 63, berkata, air mula naik di perkampungan itu air pada Isnin dan kini sudah lebih semeter.

“Bagaimanapun kami hanya akan menunggu masa sesuai untuk berpindah. Saya bimbang nak tinggalkan rumah kerana takut dimasuki pencuri,” katanya.

Namun, Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood menasihati penduduk supaya tidak menunggu air naik untuk berpindah kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Saya nasihatkan jangan tunggu air naik untuk pindah. Lebih baik berpindah awal daripada menghadapi kesulitan nanti,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim memuji penduduk Rantau Panjang mengambil inisiatif melakukan persiapan lebih awal sebelum berpindah.

“Ini akan lebih menyenangkan urusan memindahkan mereka. Selain itu, kenderaan mula di diletakkan di kawasan tinggi bagi mengelak daripada rosak atau hanyut dibawa arus deras.

“Kebanyakan penduduk sudah mula meninggalkan kediaman mereka apabila air mula naik kerana khuatir akan keselamatan terutama kanak-kanak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *