NAK DOKTOR PEREMPUANJE UNTUK BERSALIN- “Adakah puan seorang yang bertudung?”

AURAT DAN DARURAT?

Sana sini hangat isu nak doktor wanita tak nak doktor lelaki. Mari sini saya nak cerita. Ini bukan macam cerita hantu ‘Syif Tengah Malam’. Lelaki, tolong baca dan tolong hadam. Pernah terjadi, baru terjadi. Ada seorang pesakit masuk ke dewan bersalin. Rambutnya panjang dan diikat. Dia berkata dengan yakin.

“Nurse, saya nak doktor perempuan ya. Suami saya tak suka doktor lelaki. Dia marah nanti,”

Jururawat masyarakat yang bekerja dengan saya pada petang itu datang memberitahu saya.

“Kak Ros, patient saya tak nak doktor lelaki,”

Kebetulan, housemen yang bertugas petang itu adalah seorang lelaki Cina, seorang wanita Melayu dan MO yang bertugas adalah wanita India. Saya mengaku, petang itu mood saya memang tak berapa baik kerana pesakit saya telah menjerit-jerit, meraung macam rasukan Ablasa sambil menarik baju saya. Nasib baju scrub saya tahan lasak dan belum reput. Kalau tidak, saya mungkin menjadi perhatian petang itu dan mengalahkan perhatian yang di beri pada dia. Tapi jangan risau, pesakit tersebut selamat divakum di dewan bedah. Selesai satu hal.

Tanpa bercakap banyak, saya terus mendapatkan pesakit yang meminta doktor perempuan tadi. Sengaja saya berjalan ala-ala bos. Kedua-dua tangan saya letakkan ke belakang. Gaya itu penting ya! Saya bertanya kepadanya.

“Assalamualaikum Puan. Anak ke berapa ni?” Saya memang dah tahu tapi saya sengaja bertanya lagi sebagai mukadimah.

“Anak ketiga,” Jawabnya. Saya mengangguk.

“Puan nak doktor perempuan ke?” Saya bertanya lagi.

“A’ah. Suami saya tak suka. Dia nak doktor perempuan. Anak-anak sebelum ni nasib baik dapat doktor perempuan,” Dia bercerita dengan yakin.

Saya mengangguk lalu menyambung.

“Minta maaflah puan. Saya bukan nak marah. Kita sembang-sembang santai je ye. Saya pun nak meluahkan pendapat. Saya pun kena terangkan sesuatu pada puan. Sebelum tu, saya nak tanya. Adakah puan berniqab?”

Dia menggeleng. “Tidak,”

“Adakah puan seorang yang bertudung?”

Dia menggeleng lagi. “Tidak,”

“Adakah suami puan berjubah? Atau berserban?” Saya bertanya lagi. Dia dah malu-malu alah.

“Err…tak. Suami saya meniaga je,”

“Kalau macam tu, puan beritahu saya mengapa saya perlu mencarikan seorang doktor perempuan untuk puan?”

Dia terdiam seketika. Kemudian dia menyambung.

“Saya faham tentang tu. Tapi suami saya tak faham. Dia tak nak doktor lelaki. Nanti dia marah. Silap-silap boleh bergaduh. Suami saya tu panas baran. Kalau tak ada doktor perempuan, saya nak telefon dialah. Suruh dia jangan masuk labour room,” Dia sudah memegang telefon bimbitnya.

“Sabar. Rilek dulu puan. Saya tak habis cerita lagi ni. Ada banyak lagi saya nak beritahu puan ni,” Saya menyambung lagi. Dia terus meletakkan telefon bimbitnya. Sebenarnya saya risau juga. Manalah tahu dia pergi mengadu dekat suami dia. Silap-silap boleh jadi gaduh. Saya pernah bergaduh dengan pesakit tapi dulu-dululah. Dah makin lama bekerja saya mula belajar bersabar. 😂

“Untuk pengetahuan puan, doktor pakar dan doktor-doktor yang bertugas hari ini adalah lelaki ya. Sado-sado semuanya. Kalau ada apa-apa masalah, ada kecemasan, kami tak kira dah ya. Kami akan panggil je lelaki-lelaki sado ni datang menolong. Puan bernasib baik sebab hari ni kita ada doktor perempuan yang bertugas.

Kalau puan adalah jenis orang yang berniqab, atau bertudung labuh, InsyaAllah saya akan usahakan juga untuk cari doktor perempuan untuk puan. Kalau tak jumpa pun, saya sendiri akan tolong pecahkan air ketuban puan. Tak susah pun. Tapi saya perlu juga beritahu puan. Tak semestinya setiap kali bersalin tu puan akan bertuah dan dapat doktor perempuan.” Saya berleter dengan panjang lebar. Dia mengangguk lagi.

“Saya faham. Suami tu yang tak faham,”

“Tak apa puan. Saya tak marah puan. Tapi saya nak share tentang sesuatu dengan puan. Minggu lepas, ada seorang pesakit. Rambutnya kuning, berseluar pendek. Hidung bertindik. Dan suami dia minta doktor perempuan. Aurat katanya. Cuba puan bagitahu saya, aurat perempuan di kira macam mana? Dari mana ke mana? Nampaknya suami dia belum betul-betul pandai bab aurat ni.

Saya hairan. Lelaki-lelaki kat luar sana. Bab tudung, bab aurat isteri terdedah sana sini dia tak kisah. Tapi bila bab kemaluan isteri tu, dia resah gelisah. Silap-silap berbunuh pun boleh. Kenapa diorang ni tak faham maksud aurat dan darurat ya?” Saya bertanya lagi. Haaaaa kau….tak sengaja saya ternasihat pulak.

“Tak apa nurse. Saya faham. Suami saya je yang tak faham.” Dia menjawab lagi.

“Tak apa puan. Hari ni puan bernasib baik. Jadi saya akan panggil doktor perempuan. Khas untuk puan. Tapi saya harap puan fikir balik apa yang saya cakap tadi. Adalah tanggungjawab kita untuk bagi suami kita faham. Kalau dia bengap, ajar dia supaya dia faham apa maksud aurat, apa maksud darurat. Ok puan? Faham ya saya cakap ni? Kosong-kosong ya,”

Dan saya terus berlalu sambil tersenyum. Lepas saya ‘blah’ la baru saya senyum. Tak ada lah saya senyum depan dia. Saya terus panggil housemen perempuan yang bekerja petang tu. Harap pesakit tu simpan ketat-ketat apa yang saya cakap. Masa tu saya redha je kalau kena komplen pun. Saya ada sebab saya yang tersendiri. 😂

#DoneCeramah

 

Sumber : Rosnalizawati Hamzah
Bidan yang selalu membebel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *