15 patung berhala dipecahkan dengan spanar paip

IPOH: Seorang lelaki dipercayai warga asing berjaya diberkas penduduk selepas memecahkan 15 patung berhala di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Panorama Lapangan Perdana.

Dalam kejadian 1.15 pagi, lelaki berusia 20-an itu dipercayai memecahkan kesemua patung berkenaan dengan menggunakan sebatang spanar paip.

Kejadian itu disedari penghuni di pangsapuri berhampiran sebelum memaklumkan kepada penduduk setempat dan penjaga kuil, namun lelaki berkenaan sudah beredar dengan meninggalkan spanar yang digunakan di kuil terbabit.

Pengerusi kuil, MS Thanabalan, 48, berkata lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan itu berjaya diberkas di padang berhampiran kuil berkenaan hasil gambaran daripada saksi yang melihat kejadian.

“Seorang penghuni Melayu di pangsapuri berhampiran kuil menyedari kejadian itu sebelum memaklumkan kepada jirannya berbangsa India yang kemudian menghubungi sami penjaga kuil yang tinggal berhampiran.




“Pengurusan kuil turut dimaklumkan sebelum ramai penduduk setempat datang bagi memeriksa apa yang berlaku dan hasil daripada gambaran daripada seorang saksi, penduduk berjaya memberkas seorang lelaki di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, hasil pencarian oleh penduduk di kawasan berhampiran menemui seorang lelaki yang sedang berbaring di padang kira-kira 100 meter dari kuil dan kemudian diserahkan kepada pihak polis.

“Sudah lebih 90 tahun kuil ini berada di sini dan kejadian khianat ini pertama kali berlaku dan pihak pengurusan kuil meminta orang ramai terutama penganut agama Hindu dapat bersabar serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Penduduk pelbagai kaum di sini juga selama ini hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang kekecohan dan orang ramai juga diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan suasana tidak aman,” katanya.




Thanabalan berkata kerugian dialami dianggarkan kira-kira RM80,000 kerana kesemua patung berhala yang dirosakkan itu dibeli di luar negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan, dalam satu kenyataan berhubung kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 1.50 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pada 4.15 pagi tadi sepasukan polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dengan kerjasama orang awam serta merampas sebatang spanar paip yang disyaki digunakan suspek bagi memecahkan patung dalam kuil berkenaan.

“Polis ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 295, 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963..

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.